JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan agar kemudahan dan fasiliti sukan di negeri ini diselenggara dengan baik dan dibuka kepada rakyat.
Baginda juga menitahkan supaya lebih banyak pertandingan dianjurkan dengan menggunakan kemudahan dan fasiliti yang ada pada tahap maksima selepas wabak Covid-19 berlalu.
“Bagi saya, kerajaan negeri telah giat berusaha membangunkan sukan di Johor dan kemudahan serta fasiliti yang saya lawati hari ini adalah permulaan bagi mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang sukan di negeri ini,” titah Tunku Ismail dalam hantaran Facebook HRH Crown Prince Of Johor hari ini.
Terdahulu, Tunku Ismail dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam berkenan melawat Arena Larkin dan meninjau tahap persiapan Stadium Tertutup dan Pusat Akuatik setelah tapak-tapak acara tersebut telah siap sempena Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang terpaksa ditunda ke tahun 2022 akibat pandemik Covid-19.
Tunku Ismail bertitah, walaupun Sukma Johor yang sepatutnya diadakan tahun ini ditangguhkan, namun kedua-dua tapak itu telah dibangunkan dengan lengkap dari segi fasiliti latihan dan acara sukan.
Dengan semua kemudahan yang ada, baginda berharap Sukma Johor 2022 akan dapat mencungkil bakat ahli-ahli sukan sekali gus membentuk generasi juara sukan Johor yang baharu.
Stadium Tertutup di Arena Larkin yang dibangunkan bersebelahan dengan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos mampu menampung 7,000 penonton dan boleh menganjur pelbagai acara seperti badminton, bola keranjang dan sepak takraw.
Manakala Pusat Akuatik (dahulu merupakan Kolam Renang Majlis Bandaraya Johor Bahru) yang kini bertaraf antarabangsa mampu menganjurkan sukan renang bertaraf dunia dengan kapasiti 1,168 penonton. – UTUSAN