Timbang semula tarik balik pengharaman bedak talkum

Timbang semula tarik balik pengharaman bedak talkum

FATIMA Mohd. Idris menunjukkan gambar rajah mengenai bahaya penggunaan bedak talkum dalam sidang akhbar di pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru Kementerian Kesihatan supaya mempertimbang semula keputusan untuk tidak mengharamkan penggunaan bedak talkum dan produk berasaskan bahan itu di negara ini. 

Timbalan Presidennya, Fatima Mohd. Idris berkata, ini berikutan pelbagai kajian yang dijalankan banyak pihak termasuk di peringkat antarabangsa mendapati produk berasaskan talkum boleh memudaratkan kesihatan.

Sebagai contoh, kata beliau, kajian terkini oleh Enviromental Working Group mendedahkan terdapat kandungan asbestos dalam 15 peratus daripada 21 sampel kosmetik berasaskan talkum yang dikaji.

“Menyedut walau sedikit pun asbestos di dalam talkum boleh menyebabkan mesothelioma dan penyakit berbahaya lain selepas bertahun terdedah kepadanya. 

“Di sebalik pelbagai bahaya yang dikaitkan dengan bedak talkum, namun masih terdapat pelbagai jenama produk ini di pasaran dan sebahagian daripadanya dikhususkan untuk bayi,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat CAP di sini semalam.

Fatima berkata, talkum diketahui beracun kerana zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru selain boleh sampai ke sistem pembiakan serta melekat pada lapisan ovari. 

Jelas beliau, penyelidik sudah mengesan zarah talkum dalam tumor ovari dan mendapati penghidap kanser ovari menggunakan bedak talkum pada alat sulit mereka lebih kerap berbanding wanita sihat.

“Bedak talkum juga berisiko menjejaskan paru-paru berikutan zarahnya yang halus mudah masuk ke dalamnya ketika disedut bayi dan pengguna lain.

“Menyedut debu bedak ketika menukar lampin boleh menyebabkan saluran pernafasan bayi membengkak serta menyebabkan pneumonia atau serangan asma,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Fatima, CAP sudah menghantar memorandum kepada Kementerian Kesihatan pada 20 November lalu berhubung gesaan supaya penggunaan bedak talkum diharamkan. 

Sebaliknya, tambah beliau, pengguna dinasihati menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung dan tepung beras atau menggunakan minyak sapu tanpa bedak berubat bagi masalah ruam bayi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN