GEORGETOWN: Kerajaan perlu menimbang cadangan memperkenalkan semula pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana bakal melibatkan kos yang terlalu tinggi.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, sepanjang 12 tahun dilaksanakan, program itu telah menelan belanja lebih RM8 bilion sekali gus pelaksanaan semula dilihat satu pembaziran.
“Sebelum ini juga ketika PLKN dijalankan, kita dapat lihat ia tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan malah memberi mudarat dengan berlakunya kes-kes buli, tidak memupuk perpaduan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pemenang, di sini semalam.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan bercadang untuk melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PLKN sebelum ini memberi kesan yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja.
Menurut Mohd. Yussof, ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19, wang kerajaan sepatutnya disalurkan untuk menangani masalah pengangguran dan memulihkan semula sektor ekonomi.
“Dengan penularan Covid-19 yang masih meningkat, kami juga bimbang jika wujud kluster baharu menerusi program tersebut sekiranya diadakan semula.
“Kebanyakan waris atau ibu bapa juga tidak bersetuju dan membenarkan anak mereka menyertai PLKN dengan pelbagai alasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada Kementerian Pendidikan dengan menyalurkan perbelanjaan pembangunan sumber manusia untuk aktiviti kokurikulum pelajar di sekolah.
“Adalah lebih baik wang tersebut disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dalam menambah balik pelaksanaan aktiviti berpasukan di sekolah seperti aktiviti kadet sekolah atau Pengangkap,” katanya. – UTUSAN