MELAKA: Selepas sekian lama tidak dapat berbasikal bagi jarak jauh, tiga sahabat tidak menunggu lama untuk ‘kembali beraksi’ apabila mengambil peluang berkayuh lebih 400 kilometer setelah dibenarkan merentas negeri.
Yahya Yusof, 33, dan Khairul Ariffin Ibrahim, 46, serta Rosman Ridzuan, 58, dari Lembah Klang memulakan kayuhan mereka di Kajang, Selangor pada Jumaat lalu untuk menuju ke Johor Bahru, Johor.
Seperti kebanyakan pengunjung, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk singgah ke negeri ini yang terkenal sebagai destinasi percutian hujung minggu sebaik menyambung kayuhan dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurut Yahya, mereka sering berbasikal jarak jauh sebelum ini tetapi aktiviti itu terbatas seketika setelah wabak Covid-19 melanda dan kini mahu menyambung semula kayuhan santai tersebut sambil menyihatkan badan.
“Kami memulakan kayuhan dari Kajang ke Port Dickson dan sambung semula perjalanan ke Muar tetapi pada masa sama turut singgah sebentar ke Melaka untuk menikmati asam pedas.
“Selepas itu, dari Muar kami menuju pula ke Kukup di Pontian sebelum menamatkan kayuhan di Johor Bahru yang keseluruhannya dianggarkan lebih 400 kilometer,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ketika berada di Melaka, Yahya berkata, mereka seronok melihat kedatangan ramai pengunjung yang memenuhi bandar raya bersejarah itu berbanding keadaan suram yang dipaparkan akhbar sebelum ini.
“Saya rasa sebaik kebenaran rentas negeri diberikan kerajaan, industri pelancongan di negeri ini serta lokasi-lokasi di negeri lain juga bertambah baik. Ketika di Melaka kami dapat menikmati tarian dondang sayang dan aktiviti-aktiviti lain yang memeriahkan suasana,” katanya.
Dalam pada itu, Yahya yang juga juruaudit memberitahu, mereka bertiga bersama beberapa rakan lain dijangka berkayuh pula menuju ke Pulau Langkawi pada minggu hadapan.
“Memandangkan masih ada baki cuti sebelum memasuki tahun baru 2021, kami sudah melakukan persiapan untuk berbasikal ke utara tanah air pula pada Sabtu depan, boleh dikatakan kayuhan ini sebagai persiapan untuk berbasikal pada jarak lebih jauh pula,” katanya. -UTUSAN ONLINE