Tiga pegawai IPD Kota Tinggi disiasat - Utusan Malaysia

Tiga pegawai IPD Kota Tinggi disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tiga pegawai Polis Daerah termasuk Ketua Polis Daerah Kota Tinggi disiasat ekoran kes penyeludupan dadah ke dalam lokap balai berkenaan. 

Selain itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Tinggi dan Ketua Balai Kota Tinggi juga berdepan nasib sama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuka kertas siasatan tatatertib kepada tiga pegawai atasan terbabit. 

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kes ini.

“Kita akan tengok hasil siasatan, melihat dari aspek akauntabiliti dan penyeliaan, memang tidak ada. 

“Lokap balai ini berada dalam kawasan IPD Kota Tinggi, kalau Balai itu jauh dari IPD, mungkin ada alasan, tetapi ini di bawah dagu sahaja, tidak ada penyeliaan. Jadi, kita tidak akan bertolak ansur.

“Kita akan menjalankan siasatan rapi, baik Ketua Polis Daerah, ketua jabatan atau mana-mana yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti akan diambil tindakan. Mungkin akan digantung tugas atau paling tinggi dibuang kerja atau lain-lain tindakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ahad lalu, seramai sembilan anggota polis dari IPD Kota Tinggi dicekup kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap balai terbabit.

Tangkapan itu melibatkan lapan anggota lelaki dan seorang anggota wanita berusia lingkungan 20 hingga 36 tahun berpangkat koperal hingga konstabel bertugas sebagai pengawal lokap IPD berkenaan yang menerima bayaran antara RM50 hingga RM1,500 bagi melakukan kegiatan tersebut. 

Ayob Khan berkata, kes barang terlarang masuk dalam lokap ini banyak tapi mungkin sebelum ini tindakan tidak diambil atau ada yang cuba melindungi perkara itu. 

Jelasnya, modus operandi digunakan ialah bersekongkol dengan anak perempuan kepada salah seorang tahanan yang membekal dadah kepada anggota terlibat untuk diberikan kepada tahanan lokap. 

“Biasa kita dengar port dadah di luar, di rumah terbiar, tapi kes ini port dadah di dalam lokap polis. Dadah pelbagai jenis pun ditemui di dalam lokap.

“Kes ini berlaku akibat tidak ada aspek penyeliaan dibuat. kalau Ketua Polis Daerah tak selia dengan betul, inilah yang akan berlaku. 

“Arahan daripada Pengarah Narkotik Bukit Aman yang mensyaratkan setiap tahanan lebih tujuh hari perlu menjalani ujian saringan air kencing tidak dipatuhi. Ini bukan lagi amaran tapi tindakan tegas akan diambil,” katanya. 

Dari awal tahun sehingga 30 November lalu, polis Johor telah membuat tangkapan seramai 17,914 individu atas pelbagai kesalahan dadah serta membuat rampasan dadah sebanyak 2.66 tan yang dianggarkan bernilai RM29.6 juta. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya