REMBAU: “Bila pandang wajah Dhiya Nuraisha, rasa terubat rindu pada arwah suami, wajah Dhiya iras arwah,” luah Khairunnisak Ashari, 35, yang baharu 20 hari melahirkan anak keenamnya itu.
Bagaimanapun, suaminya, Mohd. Ghazali Akop, 49, tidak sempat menatap wajah anak perempuan tunggalnya itu apabila meninggal dunia pada 30 November lalu dan sebelum itu koma selepas terbabit kemalangan pada 11 November lalu.
Menurut Khairunnisak, dia dan arwah suaminya sememangnya tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi keenam mereka itu.
Ini merupakan kali pertama mereka dikurniakan rezeki anak perempuan selepas lebih 14 tahun berkahwin.
“Hajat kami suami isteri untuk mendapatkan anak perempuan tercapai, namun, arwah suami tidak sempat untuk melihat anak perempuannya ini kerana dia disahkan meninggal dunia sebelum Subuh pada 30 November lalu.
“Saya sebenarnya sudah reda apabila suami meninggal dunia kerana selepas kemalangan itu saya sempat ke lokasi kejadian dan menggengam erat tangannya serta melihat keadaannya yang terlantar semasa koma,” katanya ketika ditemui sempena Program Sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PerkasihN9) di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, dekat sini, hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi PerkasihN9, Norfadilah Mansor dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Pas Negeri Sembilan, Ishak Omar.
Ujar Khairunnisak, dia sepatutnya dijangka melahirkan anak pada 10 Disember depan, namun, terpaksa bersalin akibat komplikasi semasa usia kandungan 36 minggu dua hari iaitu empat hari selepas suaminya mengalami kemalangan.
“Dua hari juga saya berulang alik ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi melihat keadaan suami. Lepas itu, saya mula rasa tidak sedap badan dan terpaksa bersalin awal kerana tekanan darah saya agak tinggi,” katanya.
Tambahnya, arwah suaminya bekerja sebagai pemandu sebuah syarikat swasta di Putrajaya dan meninggal dunia selepas kira-kira 19 hari koma di HTJ Seremban susulan terbabit dalam kemalangan di Bukit Chedang, Kota dekat sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Katanya, lokasi kemalangan berkenaan juga tidak jauh dari rumah mereka dan dia bersama keluarga sempat ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Khairunnisak berkata, buat masa ini, adik-beradiknya, keluarga terdekat dan masyarakat ada menghulurkan bantuan buat mereka sekeluarga.
“Saya baharu sahaja membuat permohonan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya memandangkan kelima-lima anak saya masih bersekolah serta memerlukan perbelanjaan yang besar.” katanya.
Orang ramai atau mana-mana pihak yang mahu menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada keluarga tersebut boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 155050515416 di atas nama Khairunnisak Ashari.