Tidak kedengaran ‘suara’ tolak belanjawan Kementerian Pendidikan  - Utusan Malaysia

Tidak kedengaran ‘suara’ tolak belanjawan Kementerian Pendidikan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin tidak berdepan dengan undian belah bahagian ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya sebentar tadi.

Peruntukan terbesar membabitkan RM50.4 bilion itu diluluskan secara suara majoriti tanpa tentangan meskipun ketika perbahasan, Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) meminta semua ahli Parlimen menolaknya.

Banyak pihak yang menjangkakan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi mungkin berhadapan tentangan hebat selepas wujud dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang hari ini.

Pakatan Harapan (PH) juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi akan membuat undian belah bahagian pada bacaan kali ketiga RUU Perbekalan 2021.

Namun, selesai sesi penggulungan oleh Mohd. Radzi, ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meminta usul diputuskan, tidak kedengaran langsung suara ahli Parlimen yang menolak.

Malah, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan juga tidak bangun untuk mengusulkan undian secara belah bahagian.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang buat pertama kali muncul bersama bekas ‘seterunya’, Tengku Razaleigh Hamzah selepas 33 tahun, menyeru semua ahli Parlimen mengutamakan negara dan bukannya kepentingan parti atau peribadi.

Menurut beliau, ahli-ahli parlimen juga sepatutnya perlu ada semangat untuk memajukan negara dalam semua aspek terutama ekonomi tanpa memikirkan kepentingan wang, kuasa atau diri sendiri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya