JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia tidak dapat memberi tarikh yang tepat bila kerajaan bersedia untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara tersebut akan dipertimbangkan setelah penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini dapati diatasi.
Katanya, keputusan tersebut juga perlu mengambil kira keadaan penularan pandemik dan tahap kesihatan di negara pekerja asing terbabit yang akan dibawa masuk.
“Selagi kita tidak dapat tangani isu wabak Covid-19 di negara ini, selagi itu kita tidak dapat bawa masuk pekerja asing.
“Ramai yang bertanyakan perkara ini dan saya sendiri pun tidak ada jawapan. Walaupun kita sudah bersedia untuk membawa masuk pekerja asing, namun ia bergantung kepada keadaan di negara berkenaan.
“Sekiranya negara terbabit tidak dapat tangani penularan Covid-19, maka kita tidak dapat membawa pekerja asing dari negara itu. Walaupun kita amat memerlukan pekerja asing, tapi soal keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia jauh lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian asrama pekerja dan penyerahan sijil Perakuan Penginapan kepada Kujaya Management Sdn. Bhd. di Frontier Park, di Desa Cemerlang, dekat sini hari ini.
Disoal mengenai cadangan Bank Dunia yang mahu melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun, Saravanan berkata, buat masa ini kerajaan masih belum memikirkan tentang perkara tersebut.
Jelasnya, tumpuan kerajaan pada ketika ini menjurus kepada usaha menangani isu pengangguran yang semakin membimbangkan di negara ini dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Kadar pengangguran yang direkodkan ialah pada paras 5.3 peratus sejak Mei lalu. Unjuran kita untuk mengatasi pengangguran ke arah 4.56 peratus.
“Kita lihat keadaan hari ini, negara sedang dilanda pelbagai krisis termasuk krisis ekonomi, kesihatan dan perindustrian. Kalau dapat kurangkan kadar pengangguran, ia menjadi satu kejayaan yang besar,” katanya. – UTUSAN