Tiada pegawai penguat kuasa di pintu sempadan terlibat rasuah - Utusan Malaysia

Tiada pegawai penguat kuasa di pintu sempadan terlibat rasuah

Shaharom Nizam Abd. Manap meletakkan pelekat 'Jangan Rasuah' di cermin sebuah lori sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan tiada pegawai penguat kuasa yang bertugas di pintu masuk sempadan Malaysia dan Thailand di negeri ini ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, setakat ini, pihaknya juga tidak menerima laporan pegawai berkenaan terlibat dalam rasuah membabitkan aktiviti penyeludupan di pagar sempadan berkenaan.

Namun, katanya, SPRM sentiasa memantau pergerakan di sempadan negara jiran itu, selain mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan tersebut.

“Kalau setakat orang bercakap biasa itu ada, tetapi tiada aduan dan maklumat sebenar tentang kejadian, jadi kita minta orang ramai agar melaporkan sebarang salah laku di sempadan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Jangan takut untuk beri maklumat kerana kita mengamalkan kerahsiaan identiti pemberi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengedarkan risalah dan pelekat kereta sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 di laluan kenderaan berat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Shaharom memberitahu, pada Januari lalu, SPRM hanya menerima laporan membabitkan pekerja syarikat swasta yang didakwa membuat pengisytiharan palsu terhadap barangan dibawa tanpa membabitkan pegawai penguat kuasa di ICQS Durian Burung dekat sini. 

Dalam pada itu, beliau berkata,  SPRM negeri menerima sebanyak 339 maklumat pelbagai kesalahan membabitkan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak Januari lalu hingga bulan lepas.

“Daripada jumlah itu, kita melakukan siasatan awal ke atas 163 maklumat yang diterima dengan 73 tangkapan melibatkan 30 penjawat awam manakala selebihnya pekerja swasta dan orang awam,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 44 kertas siasatan dibuka antaranya melibatkan kesalahan rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

“Penyitaan dan pembekuan aset termasuk wang tunai bagi keseluruhan kes pada tahun ini bernilai RM1.6 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN