RAUB: Tiada laporan bekalan makanan asas tidak cukup sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat walaupun negara sedang berdepan dengan kekangan pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan, bekalan makanan negara mencukupi dan tidak terjejas.
Jelasnya, ini kerana kerajaan bertindak tepat dan proaktif membenarkan sektor ekonomi dan industri makanan terus beroperasi berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Tiada laporan bekalan makanan tidak cukup dan menjejaskan kualiti hidup rakyat kecuali beberapa barangan yang diimport seperti bawang merah.
“Sektor pengeluaran makanan negara perlu bergerak seiring dengan permintaan jika terhenti kesannya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat.
“Kerajaan bertindak pantas melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memastikan rakyat mendapat sokongan perniagaan diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Raub di Pejabat PPK Raub di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dr. Nik Mohamad Zawawi Salleh, Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan dan Pengerusi PPK Raub, Datuk Indera Mustaffar Kamal Ab. Hamid.
Dalam Belanjawan 2021, sektor pertanian dan industri makanan diperuntukkan RM4.79 bilion sekali gus membuktikan kerajaan serius membantu petani, peladang dan nelayan selaku barisan hadapan industri agromakanan negara.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama rakan strategik LPP terus berusaha keras memartabatkan agromakanan dan sekuriti makanan negara. -UTUSAN ONLINE