JOHOR BAHRU : Hasrat pasangan muda membina keluarga kini berdepan laluan berliku apabila dibelenggu masalah kewangan meruncing hingga mengikat perut demi membesarkan lima anak yang belum bersekolah.
Menurut Nur Afiqah Amira Mohd. Aidil, 23, keadaan bertambah sukar apabila pendapatan suaminya, Raja Hairi Misha Raja Misuari, 25, sebagai pembantu gerai terpaksa dipotong sejak September lalu akibat pandemik Covid-19.
Lebih menyedihkan Nur Afiqah memberitahu, ketika itu, dia sedang berpantang selepas melahirkan bayi lelaki yang mengalami masalah jantung berlubang dan tiroid.
“Sejak September lalu, suami saya tidak mendapat gaji penuh kira-kira RM1,200 seperti yang diterima sebelum ini. Sekarang dia hanya dibayar antara RM100 hingga RM200 seminggu oleh majikannya.
“Pendapatan itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Maka kami terpaksa dahulukan untuk membeli keperluan anak-anak serta perbelanjaan perubatan anak bongsu kami lagi.
“Disebabkan faktor itu, bil air dan elektrik yang sudah lama tertunggak semakin bertambah manakala sewa rumah dan bayaran ansuran motosikal sudah tiga bulan tidak dibayar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di sini.
Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Irsalina Hairin, 6; Harraz Ramadhani, 5; Irsyad Khan, 3; Nisrina Amanda, 2; dan Aariz Rizqi berusia empat bulan.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist yang menyampaikan bantuan bantuan dan barangan keperluan.
Tinjauan mendapati rumah itu tidak mempunyai sebarang perabot atau apa-apa peralatan elektrik melainkan meja makan, empat kerusi dan sebuah almari dapur.
Nur Afiqah berkata, mereka sekeluarga sudah menetap di situ sejak dua tahun yang lalu selepas berpindah keluar daripada rumah ibu mentua di Taman Daya di sini.
Katanya, dia tidak mampu untuk bekerja bagi meringankan beban suaminya kerana mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukan rawatan susulan dua kali sebulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Saya sudah membuat permohonan bantuan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat namun masih menerima maklum balas,” katanya. -UTUSAN ONLINE