KULIM: Empat pekerja sebuah syarikat kontraktor terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik di dalam lubang kabel telekomunikasi bawah tanah di Taman Harmoni di sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan reptilia sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira lapan kilogram itu pada pukul 12 tengah hari.
“Pekerja itu menemui ular sawa tersebut sebaik membuka penutup lubang di atas jalan dalam taman perumahan tersebut untuk melakukan kerja-kerja pemasangan kabel.
“Ular itu melingkari kabel bawah tanah sebelum menyusur masuk ke dalam lubang terowong dan terus hilang daripada pandangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pekerja tersebut menghentikan kerja dan menghubungi APM untuk tindakan lanjut.
“Tiga anggota APM kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa lebih sejam untuk menangkap ular tersebut kerana kedudukan reptilia itu di dalam terowong kabel sedalam dua meter,” ujarnya.
Tambahnya, reptilia itu dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN ONLINE