TELUK INTAN: “Terima kasih kerana menyelamatkan saya. Jika tidak, tak tahulah apa yang terjadi pada saya,”.
Demikian kata Muhammad Nazri Abdul Kadir, 36, penunggang motosikal yang terlibat kemalangan sehingga terjatuh ke Sungai Perak dari Jambatan Sultan Yusof di sini kelmarin kepada pemancing yang menyelamatkannya, Musa Harun, 63.
Muhammad Nazri berkata, dia amat berterima kasih kepada Musa dan rakan-rakannya yang menyelamatkannya daripada lemas.
Menceritakan detik-detik dia tercampak dan terjatuh ke dalam Sungai Perak, Muhammad Nazri berkata, ketika kejadian dia yang menunggang motosikal berkuasa besar cuba mengelak sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan di atas jambatan tersebut, menyebabkan dia tercampak dari jambatan dan jatuh ke dalam Sungai Perak.
“Ketika itu saya terasa melayang sebelum terhempas di atas air. Saya terus tenggelam dan tidak sedarkan diri seketika namun kemudiannya tersedar kerana tidak boleh bernafas. Ketika itu saya hanya ingatkan isteri, emak dan anak-anak saya.
“Saya cuba bertenang dengan membuka topi keledar serta jaket dan berenang ke permukaan air menggunakan tangan kerana kaki saya tak boleh bergerak.
“Saya berpaut pada topi keledar manakala jaket yang saya pakai membantu saya terapung dan ketika itu, saya terdengar ada teriakan dari atas jambatan mengatakan ‘masih hidup’.
“Tidak lama kemudian saya diselamatkan oleh Musa dan rakan-rakannya menggunakan bot. Saya ucapkan terima kasih kepada Musa yang membantu saya, kalau tidak saya tidak tahu apa terjadi pada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Nazri yang dirawat di Hospital Teluk Intan dilawati oleh Musa hari ini.
Akibat kemalangan itu, Muhammad Nazri patah pinggul dan paha kiri dan selamat menjalani pembedahan semalam.
Muhammad Nazri yang bekerja sebagai penyelia binaan di Melaka dan tinggal di Seremban berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Seremban untuk menghadiri reunion bersama rakan-rakannya di Sitiawan.
Dia yang mempunyai tujuh anak berusia lapan bulan hingga 16 tahun bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
“Anak-anak yang mengetahui kejadian ini dan tahu saya selamat menangis, bersyukur kerana saya selamat.
“Bersyukur Allah panjangkan umur saya lagi. Saya bersyukur kerana ketika kejadian, ada orang di kawasan tempat saya terjatuh dan menyelamatkan saya.
“Musa dan rakan-rakannya membantu sehingga saya naik ambulans malah Musa juga yang menyimpan barang-barang peribadi saya,” katanya.- UTUSAN ONLINE