KUALA TERENGGANU: Terengganu masih kekurangan pakar psikiatri dengan jumlah yang ada ketika ini hanya 10 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perangkaan itu masih jauh daripada syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu nisbah 10,000 penduduk.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar lebih ramai individu berkelayakan dilatih menerusi pelbagai kursus sedia ada agar nisbah tersebut bertambah dari semasa ke semasa.
“Dengan adanya Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ini diharap kepakaran yang ada mencukupi bagi memantau keadaan pesakit yang menerima rawatan.
“Tahun lalu, seramai 1,500 orang direkodkan menerima rawatan psikiatri di Terengganu dengan 775 kes adalah di HSNZ yang melibatkan kanak-kanak dan golongan dewasa, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.
Kompleks Psikiatri HSNZ yang dibangunkan dengan kos RM62 juta itu menjadi mercu tanda perkembangan perkhidmatan perubatan yang diberikan hospital berkenaan kepada rakyat Terengganu.
Kompleks dilengkapi 60 katil itu menawarkan kemudahan seperti klinik pakar psikiatri am, kanak-kanak dan remaja di samping klinik psikogeriatrik dan rawatan penagihan. -UTUSAN ONLINE