Terengganu : 4,308 individu dari zon merah tampil jalani penilaian risiko - Utusan Malaysia

Terengganu : 4,308 individu dari zon merah tampil jalani penilaian risiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 4,308 individu dari zon merah yang memasuki negeri ini tampil secara sukarela membuat penilaian risiko di klinik dan hospital sejak aktiviti merentas negeri dibenarkan pada 7 Disember lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, hasil saringan itu, pihaknya mengesan 21 individu yang positif Covid-19.

“Di samping itu, enam daripada 433 kontak rapat yang diperiksa turut disahkan positif pandemik tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah seramai 27 orang.

“Kesemua mereka dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala kontak rapat dikuarantin sama ada di rumah atau di pusat yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya.

Dalam perkembangan sama, Nor Azimi menghargai tindakan jujur para pengembara yang tampil membuat saringan secara sukarela walaupun akhirnya ada segelintir yang didapati positif Covid-19.

Katanya, inisiatif murni kalangan individu itu membolehkan pengesanan kontak rapat, ujian saringan, rawatan dan isolasi dibuat secara pantas sekali gus mengelak penularan yang lebih besar.

“Bayangkan jika 27 kes positif itu tidak dikesan awal, tentunya mereka akan menjangkiti keluarga atau rakan sekerja.

“Sekali lagi kami ingin menasihati semua pengembara untuk berfikir banyak kali sebelum merentas negeri jika boleh, tangguhkan dahulu demi kebaikan bersama,” katanya.

Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya