HULU TERENGGANU: Tasik Kenyir yang sebelum ini sepi kerana tiada pengunjung, kembali rancak selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membenarkan rentas negeri dan daerah di beberapa negeri bermula 7 Disember lalu.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut berkata, tempahan rumah bot kebanyakannya penuh pada hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad.
Bagaimanapun, menurut beliau, perkhidmatan bot laju masih suram berkemungkinan kerana faktor musim tengkujuh.
“Kebanyakan pengunjung rumah bot banyak dalam kalangan kaki pancing orang tempatan dan mereka dari negeri jiran, dan bukan pelanggan berkeluarga.
“Walaupun sambutan tidak serancak seperti Ogos lalu tetapi sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada pengusaha rumah bot yang terhimpit sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Awal bulan lalu seramai 75 pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu mengalami kerugian lebih RM1 juta akibat pembatalan tempahan rumah bot dan bot laju pada saat akhir.
Mingguan Malaysia melaporkan jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir berkurang antara 40 hingga hampir 80 peratus kesan PKPB sekali gus menjejaskan perniagaan pengusaha.
Sementara itu, Zalani berkata, setakat ini tempahan rumah bot pada Januari dan Februari 2021 sudah banyak diterima.
“Selain tempahan baharu, ada juga tempahan daripada pelanggan terdahulu yang menunda pakej mereka.
“Bagaimanapun, kita sentiasa berwaspada menerima pengunjung terutama dari zon merah Covid-19 bagi mengelak penularan pandemik kluster Kenyir,” katanya. -UTUSAN ONLINE