JOHOR BAHRU : Perkhidmatan kereta api membawa 28 penumpang dari Stesen Gemas ke Johor Bahru Sentral tergendala akibat mendapan tanah landasan kereta api berhampiran Kempas di sini, malam tadi.
Kejadian di KM753 itu berlaku di kawasan berhampiran tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dan dipercayai akibat hujan lebat.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tren tersebut terpaksa dihentikan sebelum kawasan kejadian.
“Semua penumpang termasuk empat petugas telah dipindahkan dengan bas bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral.
“Ketika ini, perkhidmatan tren akan ditamatkan di Stesen Kempas Bahru dan para penumpang akan disediakan kenderaan perantaran bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral dan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd. Rani Hisham berkata, kerja-kerja pemulihan landasan sedang giat dijalankan di kawasan terbabit.
“Pihak KTMB memohon maaf kepada penumpang yang terlibat dalam kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, semua penumpang serta kru selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pukul 7.49 malam.
Ujarnya, jumlah gerabak yang teribat adalah satu gerabak enjin, satu gerabak generator dan tiga koc penumpang.-UTUSAN ONLINE