Tamaco perlu wujudkan pemilikan ekuiti 30% kepentingan Bumiputera - Utusan Malaysia

Tamaco perlu wujudkan pemilikan ekuiti 30% kepentingan Bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat ketetapan kepada Tamaco Plantation Sdn. Bhd. (Tamaco) untuk mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam  tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan iaitu pada 24 November lalu. 

Dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kelulusan secara bersyarat itu diberi atas justifikasi yang diberikan TH Plantations Berhad (THP) demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat.

Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan memutuskan untuk menarik balik permohonan perolehan hartanah oleh Tamaco.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan meneliti semula permohonan tersebut dengan lebih lanjut. 

“Permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd daripada THP adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2014. 

“Garis panduan itu menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera oleh bukan bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera,” katanya di sini hari ini.

Ujar kenyataan itu, kerajaan bertekad memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa. 

Baru-baru ini pelbagai pihak meragui proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk dua anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) mencetuskan banyak persoalan.

Penjelasan THP mengenai penukaran jurunilai professional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN