Tak menang tangan jual keria gula Melaka - Utusan Malaysia

Tak menang tangan jual keria gula Melaka

NUR Amalina Zaihari memilih membuka perniagaan menjual kuih keria gula Melaka bagi menampung pendapatan yang terjejas selain membantu membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19 di gerai tepi Jalan Mahsuri, Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasangan suami isteri tidak menyangka 6,000 biji kuih keria gula Melaka yang dijual di gerai tepi Jalan Mahsuri, Bayan Baru di sini laris dalam tempoh kurang empat jam sejak mula beroperasi Sabtu lalu.

Pengusahanya, Nur Amalina Zaihari, 29, berkata, dia dan suami, Muhammad Arief Rosli, 29, tidak menduga kuih warisan yang disaluti dengan cairan keras gula Melaka itu mendapat sambutan menggalakkan pelanggan pelbagai usia dan kaum.

Menurutnya, idea membuka perniagaan secara kecil-kecilan timbul selepas mereka menikmati kemanisan juadah tradisional tersebut di gerai milik rakan yang juga pengasas produk makanan itu di Seberang Jaya dekat sini.

“Kami terlintas membuka bisnes ini pada bulan lalu dan telah memulakan peniagaan kuih keria yang semakin menjadi sebutan dalam kalangan penggemar di kawasan Bayan Baru sejak Sabtu lalu.

“Pada hari pertama, sebanyak 1,000 biji laris dijual dalam tempoh tiga jam gerai dibuka pukul 11.30 pagi dan kemudiannya digandakan kepada 2,200 sehingga 3,000 biji pada hari kedua serta ketiga. Belum tiba pukul 5.30 petang, kuih habis dijual.

“Alhamdulillah, memang tidak menang tangan. Kurang tempoh lima minit, sebanyak 50 biji kuih keria sudah dibeli pelanggan yang beratur lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nur Amalina bekerja sebagai jururawat di pusat dialisis swasta manakala Muhammad Arief pula juruteknik di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Cerita Nur Amalina, perniagaan francais itu juga bagi membantu menambah serta menjana pendapatan mereka ketika negara masih bertarung dengan pandemik Covid-19.

“Saya dibantu dua pekerja wanita yang masing-masing terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Seorang daripadanya peniaga pasar malam manakala seorang lagi bekas pekerja kilang yang ditawarkan pemberhentian secara sukarela (VSS) Mac lalu,” jelasnya yang menambah pekerja terbabit diberi gaji secara bulanan.

Kuih keria gula Melaka itu dipasarkan pada harga RM9.50 untuk 10 biji, RM15.20 (16 biji) dan RM19 (20 biji). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya