PUTRAJAYA: Malaysia mencapai tahap ketersediaan indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang semakin baik menjelang baki 10 tahun lagi pelaksanaan Agenda 2030.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, buat kali pertama laporan diterbit secara dwibahasa Melayu dan Inggeris yang meliputi 128 indikator.
“Paras ketersediaan negara kita juga kian baik dengan pertambahan 37 indikator baharu dan 18 indikator di peringkat daerah,” katanya pada pelancaran Indikator SDG Malaysia 2019.
Laporan itu dirasmikan secara maya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan dua sesi webinar hari ini yang melibatkan 400 peserta.
Agenda 2030 ialah komitmen global ke arah pembangunan lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif dengan 17 matlamat dan 169 sasaran ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Ia kemudian dikaji semula sepanjang tahun lalu dan dibentangkan kepada Suruhanjaya Statistik PBB ke-51 pada tahun ini dengan mengandungi 247 indikator SDG yang bersifat universal.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir ketika berucap pada sesi pembentangan ‘Menuju Agenda 2030: Where are we?’ itu menjelaskan pemantauan rapi penting untuk Malaysia berada di landasan.
“Indikator SDG amat mustahak untuk bantu dalam pemantauan ke arah proses perancangan, pengagihan sumber berkesan dan kebertanggungjawaban pihak berkepentingan,” katanya.
Bahkan, penyediaan laporan tersebut akan memberi bukti kemajuan dan rekod penilaian SDG negara kita ke arah Agenda 2030 sekali gus mampu menjadi rujukan tepat di seluruh dunia.
Sebelum itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ada menerbitkan ‘Penilaian Awal Indikator SDG Malaysia 2018’ yang memaparkan ketersediaan data bagi 244 indikator di negara ini.
Laporan pertama ini telah diterbitkan pada 2019 mengandungi 99 indikator yang berstatus tersedia selain 81 indikator statistik bagi tujuan penyebaran dan perkongsian data SDG Malaysia.
Mohd. Uzir menambah, dari segi penilaian, 128 indikator adalah tersedia, namun 73 lagi perlu dibangunkan, 31 pula tidak tersedia dan 15 indikator global tidak relevan kepada negara ini.
“Sembilan matlamat SDG untuk Malaysia didapati telah mencapai tahap ketersediaan data lebih daripada 50 peratus, tetapi dua matlamat pula cuma catat kurang 30 peratus,” jelas beliau.
Justeru, usaha pembangunan indikator bersama kementerian dan agensi berkaitan perlu diterus bagi meningkatkan ketersediaan data ke arah pemantauan sasaran SDG lebih inklusif.
Pihak DOSM juga akan memperkukuhkan kerjasama bersama organisasi kemasyarakatan, badan bukan kerajaan dan akademia berkaitan pengumpulan serta perkongsian data SDG. -UTUSAN ONLINE