SEREMBAN: Hanya bermula sekadar untuk mengisi masa ketika mendapatkan rawatan di hospital, seorang remaja tidak menyangka minat dan bakatnya untuk melukis mendapat perhatian daripada peminat anime termasuk dari luar negara untuk mendapatkan lukisannya.
Syiah Nasitah Ishak, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’aba, dekat sini memberitahu, ada peminat anime dari Kanada dan Amerika Syarikat yang menempah lukisannya, dua tahun lalu.
“Pada waktu itu saya baharu berusia 15 tahun, saya menerima tempahan daripada akaun Instagram saya, luna_draw. Peminat anime berkenaan membayar 30 Dolar Kanada (RM180) kerana meminati lukisan saya.
“Saya mengambil masa sehari menyiapkan lukisan yang diminta iaitu Violet Evergarden. Itu pertama kali saya mendapat tempahan kerana saya hanya melukis pada waktu malam atau ketika saya berehat memandangkan saya masih dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan tulang belakang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Paroi Jaya, dekat sini baru-baru ini.
Syiah Nasitah memberitahu, dia juga ada menerima komisen daripada seorang peminatnya dari Amerika Syarikat menggunakan bayaran dari Paypal dengan bayaran AS$75 (RM260) beberapa tahun lalu.
Dia yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang animasi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelaskan, arwah datuknya, Mansor Yusop yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu merupakan idolanya.
“Arwah datuk merupakan orang yang memberi semangat kepada saya untuk menceburi bidang ini dengan lebih mendalam.
“Pada mulanya, dia mengajar saya melukis pemandangan namun saya pula akhirnya meminati bidang kartun anime ini,” katanya yang tidak pernah menyertai mana-mana kelas melukis sejak kecil lagi.
Syiah Nasitah berkata, dia bercadang menyertai kelas seni lukis daripada pelukis tersohor negara, Ismail Embong kerana mahu mendalami bidang tersebut.
“Saya telah mendaftar kelas lukisan pelukis tersebut namun terpaksa menangguhkan impian susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Jika ada rezeki saya akan menyertai program berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE