SHAH ALAM: Selepas didakwa atas dua pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 25, didakwa pula atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 23 tahun, September tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol mangsa kira-kira pukul 11.35 malam, 11 September tahun lalu di Hyde Tower, I-City di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengkut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Bekas peserta program realiti berbentuk keagamaan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes selesai, melaporkan diri ke Balai Polis Kota Kemuning setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu, menghubungi atau mendekati mangsa dan saksi dalam apa jua cara sekalipun.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Januari ini. – UTUSAN ONLINE