JOHOR BAHRU : Pengusaha bas kini menarik nafas lega setelah syarikat pinjaman kredit bersedia untuk tidak menarik bas milik mereka yang gagal membayar pinjaman selepas perniagaan mereka terjejas akibat Covid-19.
Setiausaha Agung Gabungan Bas Malaysia (GBM), R. Thiagarajan berkata, keputusan itu dicapai termasuk melanjutkan tempoh moratorium dan pengusaha bas menerusi hasil rundingan dengan syarikat kredit dengan secara teratur dan saksama.
Katanya, setakat ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah bertemu dengan lima syarikat kredit berkenaan bagi membincangkan perkara tersebut.
“Melalui e-mel yang dikirimkan semalam daripada kementerian itu kepada kami, dimaklumkan pihak itu telah mengadakan sesi libat urus dengan lima syarikat pemberi kredit yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang dikawal selia kerajaan.
“Ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pinjaman pengusaha-pengusaha bas agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil demi menjaga kepentingan kedua-dua pihak dengan situasi menang-menang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada minggu lalu Presiden GBM, Mohd. Rofik Mohd Yusoff; Timbalannya, Ahmad Ruslan dan Thiagarajan yang mewakili lapan pertubuhan bas antaranya bas ekspres, bas sekolah, bas persiaran, bas catar dan bas lain mengadakan pertemuan di Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, GBM mengenengahkan masalah pengusaha bas di seluruh negara kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Antara masalah utama dihadapi apabila syarikat kredit tidak mahu melaksanakan moratorium dan mahu menarik semula bas-bas yang dibeli menerusi pinjaman sebelum ini.
Namun kedua-dua kementerian itu kemudian berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan memanggil syarikat kredit terbabit.
Thiagarajan yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor berkata, syarikat pinjaman kredit bersedia untuk tidak mengenakan sebarang tindakan termasuk notis penarikan semula kepada peminjam sehingga hujung tahun ini.
Katanya, keputusan tersebut melegakan golongan pengusaha bas yang mengusahakan 46,928 bas seluruh negara.
“Dalam emel itu juga dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan membuat pindaan pada Seksyen 8, Akta 829 di bawah kuasa menteri tanpa perlu dibentangkan di Parlimen Malaysia.
“Perkara ini melibatkan pindaan pada jadual di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] untuk menyenaraikan jualan kredit serta Akta 212 yang melibatkan pelanjutan bagi tempoh tiada penarikan semula barangan sehingga 31 Mac 2021,” katanya.-UTUSAN ONLINE