PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan serta sukan dan rekreasi setelah meneliti segala prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa teknikal juga menyemak saranan SOP yang dibentangkan daripada dua kementerian yang berkaitan.
“Ia melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang turut memaklumkan jumlah pengunjung tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Namun ujarnya, bagi aktiviti persembahan pentas, ia tanpa kehadiran penonton dan sektor ini dibuka bermula esok dengan panduan SOP melalui laman sesawang kementerian.
Kelonggaran itu jelas beliau, meliputi program yang berbentuk mesyuarat korporat, insentif pengembaraan, konvensyen, persidangan, ekspo, karnival kraf dan pesta pelancongan.
Bagi produk pelancongan, ia melibatkan zoo, kebun, taman semula jadi atau lasak, laman rekreasi dan akuarium manakala pameran pula meliputi muzium, galeri seni dan perpustakaan.
Juga kampung kebudayaan dan seni warisan, pentas persembahan budaya serta pameran pendidikan, manakala sektor taman tema dan pusat hiburan keluarga pula ada lima jenis.
Ini membabitkan taman air atau kering, arked permainan atau pesta ria dalam bangunan, gim permainan kanak-kanak, hiburan berasaskan mesin dan teknologi dan hiburan pendidikan.
Menyentuh sektor sukan dan rekreasi, Ismail Sabri memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan telah bentang SOP dan pihak jawatankuasa teknikal memberi persetujuan bersyarat.
“Jika kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti dibenarkan dengan peserta mematuhi SOP dan penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan,” kata beliau.
Kapasiti penonton bagaimanapun hanya 10 peratus atau maksimum 4,000 orang, iaitu yang mana lebih rendah dengan penyertaan lebih 500 orang untuk aktiviti massa adalah dilarang.
Untuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti kategori individu atau berpasukan bagi tujuan latihan atau perlawanan tanpa penonton adalah dibenarkan.
Kapasiti pengguna bagi setiap premis hendaklah tidak lebih daripada 50 peratus daripada keseluruhan dan aktiviti massa dengan kehadiran penonton adalah tidak dibenarkan.
Bagaimanapun ujar Ismail Sabri, untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kerajaan memutuskan untuk langsung dilarang sebarang aktiviti sukan dan rekreasi.
Justeru, kerajaan bersetuju membenarkan perlawanan bola sepak domestik bermula Januari ini dan bagi negeri PKPP, jumlah penonton dihad 10 peratus atau maksimum 4,000 orang.
Sementara di negeri dilaksanakan PKPB jelas beliau, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton tetapi di kawasan PKPD, semua perlawanan adalah tidak dibenarkan langsung.
Bagi kejohanan peringkat antarabangsa, ia tertakluk kebenaran Jabatan Imigresen manakala penyertaan negara berisiko tinggi adalah tidak dibenarkan kecuali dapat keizinan agensi itu.
“Atlet Malaysia juga perlu dapat kebenaran pihak imigresen untuk pergi kejohanan di negara tinggi risiko manakala peserta sukan bersentuhan perlu negatif ujian saringan,” katanya. -UTUSAN ONLINE