GEORGETOWN: Kerajaan disaran menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes rasuah membabitkan pegawai agensi kerajaan yang terlibat dalam sindiket rasuah dalam urusan di pintu masuk negara.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd. Yusof Latiff berkata, tindakan pegawai kerajaan yang terlibat dengan sindiket itu perlu diadili dengan sewajarnya dan siasatan mengenainya perlu dijalankan dengan segera kerana melibatkan isu kedaulatan negara.
“Mereka yang terlibat dengan kes ini disyaki mengambil rasuah dan telah mengkhianati negara.
“Disebabkan itu, suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi memastikan kes ini disiasat secara telus dan mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen dalam serbuan serentak di empat negeri selepas terbabit sindiket salah guna cop keluar dan masuk di sempadan negara.
Selain 27 pegawai Imigresen, turut ditahan 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam semuanya berusia antara 21 hingga 46 tahun, yang dipercayai memainkan peranan sebagai orang tengah dalam operasi haram itu.
Menurut Mohd. Yusoff, selain penubuhan Suruhanjaya Diraja, Pemenang juga mencadangkan Mahkamah Perlembagaan ditubuhkan bagi mengadili pegawai kerajaan yang terlibat.
“Mahkamah yang dicadangkan ini sama seperti Mahkamah Pilihan Raya dan Mahkamah Perusahaan.
“Ini dapat membendung anasir-anasir perosak keharmonian dan perpaduan yang berpunca daripada mereka yang tamak dan sanggup memakan rasuah serta menggadai kedaulatan negara,” katanya.
Tambahnya, Pemenang berpendapat dengan adanya Mahkamah Perlembagaan itu segala tindakan penjenayah Perlembagaan dapat diadili dan dihukum dengan pantas di mahkamah berkenaan. -UTUSAN ONLINE