Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor zahir rasa sedih - Utusan Malaysia

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor zahir rasa sedih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Profesor Diraja, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia petang tadi.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya berkata, baginda mengenali Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu dan umat Islam.

Titah Sultan Selangor, baginda turut kagum dengan pemikiran, aspirasi dan idea-idea Allahyarham yang merentas masa dan zaman.

“Beta sentiasa mengikuti rapat pandangan-pandangan dan buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata yang seharusnya diteladani.

“Secara peribadi, bega juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib dan anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz,” titahnya menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office di sini malam ini.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin.

Terdahulu, Ungku Abdul Aziz meninggal dunia petang tadi di Hospital Prince Court, di ibu negara pada pukul 4.30 petang tadi dipercayai akibat sakit tua.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dikebumikan malam ini.

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Allahyarham adalah tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya