SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM9.8 juta daripada lima buah syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.
LZS dalam kenyataannya berkata, majlis penyerahan zakat itu didahului Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Hashimi Abdul Manap dengan jumlah zakat perniagaan sebanyak RM3.5 juta.
Menurut kenyataan itu, penyerahan seterusnya ialah daripada SIRIM Berhad (SIRIM) yang diwakili pengerusinya, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dengan menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.28 juta.
“Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) diwakili Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel iaitu serahan zakat perniagaan RM1.25 juta, diikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands) diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Razak Nordin RM1.7 juta dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) RM1.11 juta yang diwakili pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berjumlah RM1.11 juta.
“Gas Malaysia dan Jakel menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 manakala selebihnya adalah pada 2019,” kata kenyataan itu.
Yang turut hadir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail. -UTUSAN ONLINE