IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menasihatkan semua pemimpin parti politik di negeri ini mencari formula terbaik bagi menubuhkan kepimpinan baharu kerajaan negeri.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, nasihat itu disuarakan baginda dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi parti politik di Istana Kinta.
Katanya, selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghadap Sultan Nazrin semalam, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak diikuti Pengerusi UMNO Perak turut menghadap baginda hari ini.
“Pagi tadi, tiga pemimpin PH diperkenan menghadap Sultan Nazrin yang mana mereka menyembah maklum pandangan kepada baginda tentang keadaan semasa dan pendirian PH dalam suasana politik di Perak diikuti Pengerusi UMNO Perak.
“Segala pandangan mereka itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab baginda untuk campur tangan dalam urusan parti masing-masing.
“Baginda hanya boleh menasihatkan dan carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Kinta di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zaini, Sultan Nazrin turut berkenan menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok pada pukul 10 pagi.
Beliau memberitahu, pihaknya difahamkan masih berlaku perundingan antara parti politik malah UMNO juga akan mengadakan menyuarat perhubungan khas parti malam ini.
“Itu yang kita difahamkan tetapi apa pun kena tanya orang parti. Saya hanya memaklumkan apa yang berlaku di istana pagi tadi. Tiga pemimpin PH itu bersama-sama menghadap baginda atas nama PH,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat mana-mana parti telah mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan baharu, Mohd. Zaini menegaskan yang perkara itu bukan dalam pengetahuannya.
“Saya hanya melaporkan apa yang mereka sembah maklum dan pendirian yang mereka pegang serta usaha yang mereka laksanakan sekarang ini,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad tiba di Istana Kinta pada pukul 11.40 pagi bagi menghadap Sultan Nazrin.
Kenderaan jenis Honda CRV membawa Saarani itu dilihat memasuki pekarangan istana selepas dua buah kenderaan membawa tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak beredar pada pukul 11.35 pagi.
Sebelum itu, pertemuan hampir sejam melibatkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Asmuni Awi. – UTUSAN ONLINE