Sultan Nazrin berkenan luang masa lawat petugas media - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin berkenan luang masa lawat petugas media

SULTAN Nazrin berkenan meluangkan masa bersama wartawan yang bertugas membuat lipuran istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melawat petugas media di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar di sini hari ini.

Baginda berangkat tiba pada pukul 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra serta bertanya khabar warga media yang bertugas sempena Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah.

Ketibaan baginda diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Baginda yang berpakaian baju batik berwarna hitam kuning keemasan sempat menitipkan nasihat kepada petugas media.

“Saya nampak kamu semua berhujan berpanas untuk dapatkan berita. Terima kasih semua. Kerja baik-baik,” titah baginda.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin turut berkenan bergambar bersama lebih 50 warga media yang berada di Dewan Jubli Perak sejak pukul 9 pagi.

Sejak krisis politik Perak bermula Jumaat lalu, petugas media daripada pelbagai agensi mula berkampung di luar pekarangan Istana Kinta di Ipoh bagi mendapatkan maklumat terkini politik negeri.

Krisis politik Perak bermula selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam undi usul percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Terdahulu dalam titahnya pada istiadat tersebut, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan baginda di atas usaha dan kerja keras petugas media dalam melaporkan perkembangan terkini krisis politik di negeri ini.

Baginda amat menghargai peranan pengamal media yang komited dalam menjalankan tugas bagi memberi maklumat kepada masyarakat.

“Beta amat menghargai petugas-petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan.

“Ini bagi melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melaporkan dan menyiarkan berita bertanggungjawab kepada rakyat yang mengikuti perkembangan yang sedang berlaku,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya