JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan peralatan mesin perubatan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim, Baginda berdua menyumbangkan dua mesin inkubator kepada HSA manakala sebuah mesin dialisis untuk kegunaan HSI.
Penyerahan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamuddin Abdul Rahim di pekarangan HSA di sini.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, peralatan perubatan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya buat merawat pesakit di kedua-dua hospital berkenaan.
“Kami menjunjung kasih atas keprihatinan kepada pesakit kami di sini. Peralatan ini akan digunakan sebaiknya dalam rawatan,” katanya.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Pengarah HSA, Dr. Mohtar Pugut@Ahmad dan Pengarah HSI, Dr. Azizah Riduan.- UTUSAN ONLINE