HULU TERENGGANU: Pasangan suami isteri warga emas di Felda Mengkawang, di sini berada dalam ketakutan selepas bilik air kediaman mereka runtuh akibat arus deras air bukit, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu turut menyebabkan rumah Mohd. Nasir Hassan, 73, dan Zainab Ismail, 65 mengalami beberapa kesan retakan pada dinding dan lantai di bahagian dapur.
Anaknya, Mohd. Haslim, 33, berkata, hujan lebat berterusan mengakibatkan tanah di kediaman ibu bapanya mendap dengan sebahagiannya dibawa arus.
Katanya, selain ibu bapanya yang uzur dengan ayah terlantar sejak 12 tahun lalu akibat masalah saraf, rumah itu turut dihuni abangnya yang bermasalah mental.
“Rumah ini memang menjadi tempat laluan air dari kawasan bukit, cuma sebelum ini alirannya tidak melimpah sehingga ke bahagian bawah rumah.
“Mujurlah emak yang menghidap sakit kencing manis, saraf dan darah tinggi tidak berada di bilik air semasa kejadian tetapi saya tetap bimbang keselamatan mereka jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd. turut berkunjung ke kediaman pasangan suami isteri itu bagi memantau perkembangan banjir.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Haslim lega kerana pihak pengurusan Felda mengambil inisiatif membuat parit berhampiran rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah teruk. -UTUSAN ONLINE