SUNGAI PETANI: Sepasang suami merupakan antara 20 orang penagih yang ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Daerah Kuala Muda dalam Op Cegah di sini semalam.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, pasangan suami isteri yang berusia 29 dan 26 tahun dan mempunyai tiga anak ditahan di sini pada pukul 10.55 pagi.
Menurutnya, ketiga-tiga anak pasangan itu pula berusia antara 3 tahun hingga 8 tahun.
“Suami tersebut merupakan penganggur dan isterinya pula suri rumah didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Pasangan itu disyaki menagih dadah sejak berusia belasan tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, operasi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 8 malam itu melibat kawasan sekitar Sungai Petai, Bedong, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda.
Menurutnya, seramai 20 orang yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada 19 lelaki dan seorang perempuan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua penagih yang berumur antara 20 hingga 51 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfhine,” katanya.
Tambahnya, mereka yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998. – UTUSAN