Suami belum beritahu isteri tiga anak sudah tiada - Utusan Malaysia

Suami belum beritahu isteri tiga anak sudah tiada

MUHAMMAD Alhafiz Mohamad (tengah) ditenangkan oleh iparnya, Muhd. Jazli Aiman Abdul Rahim (kanan) ketika bedah siasat jenazah tiga anaknya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Saya tidak akan beritahu dia, sekarang bukan masa yang sesuai.”

Demikian kata Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, suami kepada Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang parah dalam kemalangan meragut nyawa tiga anak lelaki mereka di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini semalam.

Dalam nahas kira-kira pukul 2.45 petang itu, tiga anak pasangan tersebut iaitu Muhammad Adam Hakimi, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Nahas menimpa empat beranak itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan.

Menurut Muhammad Alhafiz, dia mahu keadaannya isterinya itu stabil terlebih dahulu sebelum memaklumkan mengenai kematian ketiga-tiga anak mereka.

Katanya, tindakannya itu bukan berniat untuk merahsiakan perkara yang memilukan hatinya sebagai seorang bapa tetapi mengambil kira keadaan kesihatan wanita itu.

“Buat masa ini saya tidak akan beritahu dia kerana keadaannya. Dia akan tahu tetapi bukan sekarang.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk beritahu keadaan anak-anak, malah saya sendiri pun tertekan (disebabkan kejadian),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri di sini hari ini.

Muhammad Alhafiz berkata, kejadian berlaku ketika isteri dan tiga anak lelakinya itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas balik bercuti menemuinya yang bekerja di Melaka.

“Saya bekerja dan tinggal di Melaka, kami PJJ (tinggal berasingan). Aimi dan anak-anak balik bercuti. Mereka balik ke Melaka kerana urusan keluarga,” katanya.

Sementara itu, abang sulung Nur Aimi Nadiah, Muhd. Jazli Aiman, 31, berkata, mereka sekeluarga berhasrat membawa anak ketiga daripada empat beradik itu ke Melaka untuk dirawat di hospital di sana.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada pihak hospital bagi menentukan tahap kesihatan wanita itu.

“Kita tunggu dulu apa kata doktor. Kita harap semua stabil dan kita akan pindahkan dia ke hospital di Melaka untuk dekat dengan keluarga,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu akan dibawa balik ke Melaka untuk dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya