Suami ‘bantai’ isteri diheret ke mahkamah - Utusan Malaysia

Suami ‘bantai’ isteri diheret ke mahkamah

MUHAMAD Arif Aniq Mirza Kamaludin (tengah) diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pekerja pasar raya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menendang dan menumbuk isterinya sehingga cedera pada Ogos lalu.

Tertuduh, Muhamad Arif Aniq Mirza Kamaludin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Musfirah Mustaffa, 21, dengan menendang belakang badan, menumbuk bibir dan mengetuk paha menggunakan telefon bimbit. 

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Paya Ikan, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Ogos lalu. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama. 

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh pulang dari kerja dan mendapati bayi mereka berusia tiga bulan menangis tanpa dipujuk. Tertuduh kemudian memarahi mangsa sehingga berlaku pergaduhan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan penjamin adalah isteri tertuduh serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan boleh dibuat oleh ibu tertuduh kerana isteri anak guamnya tidak dapat dikesan dan bersetuju dengan syarat tambahan diletakkan.

Mohamad Izwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan jaminan dibuat oleh ibu tertuduh, serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan 11 Januari depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN