PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengorak langkah dengan melancarkan sebuah stesen radionya sendiri dikenali sebagai Radio Jawi.
Penubuhan stesen yang dapat didengar secara atas talian itu antara usaha dirancang agensi tersebut berdasarkan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Di Wilayah Persekutuan 2020-2024.
Menurut hantaran disiarkan menerusi akaun media sosial rasmi Jawi, kewujudan saluran radio itu di bawah ‘Teras Dakwah’ bagi memantapkan keberkesanan melalui medium secara interaktif.
“Ia meliputi inovasi penyampaian pelbagai program kepada semua peringkat golongan sasar secara lebih berkesan dilaksanakan Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, buat peringkat permulaan, siaran radio ini hanya beroperasi selama satu jam dari pukul 10 pagi pada setiap hari Rabu dan Jumaat dikendalikan oleh juruhebah DJ Kaaff.
Saluran ini boleh diikuti menerusi laman sosial facebook.com/radio/jawi dengan tiga segmen disiarkan iaitu Jawikan Jiwaku, Selamat Pagi Warga Jawi dan Apa Cerita Warga Wilayah?
Sesi percubaan siaran itu berjaya dilakukan pada 12 Disember lalu bagi menguji tahap kualiti audio dan visual sebelum ia ke udara pada 1 Jamadil Awal 1442 Hijrah atau 16 Disember ini.
Kelahiran Radio Jawi bakal ‘memeriahkan’ lagi industri penyiaran tanah air khususnya saluran dakwah yang pada ketika ini belum ada banyak lagi stesen yang bercorak genre berkenaan.
Umat Islam di Malaysia pada masa ini dapat menikmati radio IKIMfm yang diuruskan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 2001 menerusi 15 gelombang FM di seluruh negara.
Sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut ada satu saluran radio sendiri iaitu Salam FM yang dapat didengar terhad melalui lima frekuensi FM di Semenanjung Malaysia.
Namun, meskipun siaran hanya dari 11 malam hingga 8 pagi berbanding IKIMfm beroperasi 24 jam, Salam FM pula dapat ‘didengar’ menerusi platform Astro (875) dan MyFreeView (706).
Tidak ketinggalan Zayan dimiliki Astro Radio Sdn. Bhd. yang lahir sejak 2017 lalu turut jadi pilihan generasi muda Muslim untuk ‘mendekati’ lagu ketuhanan dan program berunsur Islam.
Bagaimanapun seperti juga Salam FM, liputan siaran radio ini agak kecil dengan hanya enam gelombang FM di sekitar Semenanjung Malaysia selain melalui platform Astro saluran 876. -UTUSAN ONLINE