PUTRAJAYA: Kepimpinan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan sokongan penuh terhadap cadangan pewujudan gagasan besar pelbagai blok politik tanah air.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sayap berkenaan malahan yakin gabungan tiga blok siasah itu bakal memantapkan lagi imej pasukan pentadbiran kerajaan sekarang.
“Sudah pasti ia akan memperkuatkan lagi gabungan yang kita ada sekarang kerana negara perlukan satu pasukan yang kuat dan amat kukuh bagi usaha pemantapan kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian dalam sidang akhbar di Salak Tinggi, Sepang dekat sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan Program Rakan Muda ‘Give Back’ melibatkan sejumlah 20 peserta bersempena dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2020 peringkat Selangor.
Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Hasnata Hasan.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor mencadangkan agar satu gagasan besar politik ditubuhkan secara bersama dengan pemeteraian piagam.
Menteri Dalam Negeri itu yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, ia meliputi blok tersebut dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pewujudan gabungan tiga blok berkenaan diharap menyakinkan rakyat bahawa politik stabil dan mencerminkan ia terus mentadbir negara dan membela nasib rakyat pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Rina turut sependapat dengan kenyataan Hamzah dan menyokong sebarang usaha kepimpinan Bersatu serta PN bagi merealisasikan hasrat rancangan besar tersebut.
“Apabila ini berjaya diwujudkan, kita sudah tentu dapat menggembleng tenaga secara bersama untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat keseluruhan,” katanya lagi.
Beliau jelas merujuk bantahan pihak UMNO sendiri apabila Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin hari ini mendakwa gabungan ini dibentuk untuk ‘survival’ Bersatu.
Apatah lagi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ujarnya, tidak kukuh apabila sokongan BN dan GPS lebih bersifat sementara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 kelak. -UTUSAN ONLINE