KLANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menyasarkan kira-kira 12,098 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri ini akan menjawab kaji selidik sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa kali ini.
Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM negeri, Abdul Razak Deraof berkata, kaji selidik itu bermula hari ini dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Caranya mudah sahaja mereka perlu menjawab kaji selidik berkenaan dengan mengimbas kod QR menerusi telefon pintar.
“Kaji selidik ini bertujuan menilai dan membantu PBT dalam merangka dan membuat perancangan inisiatif pencegahan rasuah pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2020 di Dewan Raja Mahadi, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini hari ini.
Terdahulu, warga kerja MPK turut melafazkan Ikrar Integriti Korporat (CIP) termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara SPRM Selangor yang diwakili Abdul Razak manakala MPK pula diwakili Yang Dipertuanya, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. – UTUSAN ONLINE