KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) terbaharu berhubung proses mengimport daging sejuk beku dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, industri daging import dan tempatan diminta supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan digalakkan untuk membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) agar tiada lagi isu yang terkait dengan penyeludupan daging haram, daging yang tidak berlogo serta yang tidak diiktiraf oleh Jakim.
Beliau berkata, perbincangan serta mesyuarat dengan pihak yang terbabit sudah dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.
“Jakim menginsafi isu daging import yang berlaku ketika ini. Justeru, tindakan segera telah, sedang dan akan diambil.
“Sekali lagi kami menegaskan yang kami akan melaksanakan tugasan dengan penuh amanah, pantas dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Pelan Tindakan Menangani Isu Daging Seludup, Abdul Aziz berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Selain itu, jelasnya, turut diadakan perbincangan meja bulat (RTD) dengan pengimport dan pengedar daging serta produk daging bersama dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM.
“Kita juga akan mempromosi badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
“Jakim telah mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE