Skuad Infaq masjid gigih hulur bantuan sepanjang PKP - Utusan Malaysia

Skuad Infaq masjid gigih hulur bantuan sepanjang PKP

Saad Yaacob menyampaikan sumbangan kepada salah seorang asnaf di pekarangan Masjid Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seramai 120 penerima bantuan telah memperoleh manfaat hasil sumbangan Skuad Infaq Masjid Permatang Rambai di sini, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Pengasas skuad tersebut yang juga Pengerusi Biro Kebajikan masjid berkenaan, Saad Yaacob berkata, sumbangan itu dikhususkan kepada golongan asnaf yang memerlukan termasuk keluarga miskin, ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU).

“Ini kali ketiga kita menyampaikan sumbangan ini (sepanjang tempoh PKP) dan Alhamdulillah, sambutan yang diterima sama ada daripada kalangan penderma atau penerima sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan berupa barang keperluan harian dan wang tunai berjumlah RM50 kepada kira-kira 60 orang asnaf terpilih sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di pekarangan Masjid Permatang Rambai, di sini semalam.

Selain Saad, 64, Skuad Infaq itu turut dianggotai isterinya, Robiah Che Mat, 63, serta beberapa anggota sukarela yang ditugaskan untuk persiapan program berkenaan.

Dalam pada itu, Saad menggalakkan mereka yang ‘tercicir’ daripada senarai penerima bantuan untuk datang sendiri ke ‘infaqmall’ yang terletak di pekarangan masjid tersebut jika memerlukan bantuan terutama melibatkan barangan keperluan harian.

“Biasanya, memang kami terutamanya saya dan isteri akan ‘turun padang’ bagi mengesan sendiri golongan penerima ini atau mendapatkan maklumat mengenai mereka daripada wakil kami di kawasan berkenaan.

“Tapi, dalam sesetengah kes, kami masih menerima penerima bantuan yang datang sendiri ke sini untuk mendapatkan sumbangan,” ujar beliau.

Pada masa sama, Saad turut menggalakkan lebih ramai penderma tampil menyampaikan sumbangan agar bekalan barangan keperluan khususnya sentiasa mencukupi pada setiap masa.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya