PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan pihaknya mendapat kerjasama Twitter bagi menggantung akaun BermanaTV.
Menurut agensi itu, tindakan penggantungan tersebut dibuat setelah didapati akaun palsu berkenaan melanggar Piawaian Komuniti ditetapkan penyedia platform media sosial itu.
“SKMM menghargai tindakan diambil oleh Twitter berdasarkan aduan yang dimajukan oleh pihak SKMM sendiri,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
SKMM menambah, paparan menerusi akaun tersebut sering mengelirukan masyarakat dengan berselindung di sebalik nama parodi seolah-olah dikaitkan sebuah agensi berita nasional.
Namun, langkah itu adalah bersifat sementara dan reaktif kerana akaun sebegini mungkin boleh diwujudkan semua dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh.
“Mereka boleh memastikan kesahihan setiap maklumat dengan mengikuti saluran rasmi akaun media sosial yang terdapat lencana pengesahan warna biru atau kelabu,” katanya.
Lambang itu dipaparkan penyedia platform seperti Twitter, Facebook, Instagram, Youtube dan sebagainya bagi mengiktiraf akaun yang berasal daripada organisasi telah disahkan.
Pihak SKMM bagaimanapun akan terus berusaha menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu melalui wadah media sosial yang dikesan berniat jahat.
“Akaun ini sengaja diwujudkan pihak tertentu bagi melindungi identiti sebenar untuk tujuan menipu, menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan masyarakat,” tegasnya.