PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tampil kemukakan aduan kepada agensi itu berhubung isu filem Babi.
Ia susulan laporan polis yang dibuat oleh pihak persatuan tersebut kelmarin mengenai siaran promosi filem kontroversi berkenaan arahan Wee Meng Chee atau popular digelar Namewee.
“Proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Selain akta itu, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh pelbagai agensi penguatkuasaan lain mengikut undang-undang yang terpakai berkaitan isu kandungan atau penyiaran kandungan.
Sekiranya hasil penelitian dan siasatan dijalankan itu mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan sedia ada, tindakan penguatkuasaan boleh diambil agensi berkenaan.
SKMM malahan menambah bahawa langkah tersebut juga adalah selaras dengan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak mengikut peruntukan ditetapkan oleh undang-undang.
Agensi itu menjelaskan, pada 19 November lalu, ia telah mengambil inisiatif menghubungi terus pihak pentadbir laman YouTube mengenai isu trailer atau siaran promosi filem Babi itu.
“Kandungan yang dimuat naik dalam saluran YouTube milik akaun Namewee itu namun masih menunggu maklum balas daripada pihak terbabit yang berpangkalan di luar negara,” jelasnya.
Filem Babi diarahkan oleh artis rap tempatan itu dan diterbitkan syarikat NSP Entertainment Sdn. Bhd. serta dilaporkan sudah ditayangkan secara atas talian sejak 20 November lalu.
Cereka berdurasi satu jam itu didakwa Namewee kononnya berdasarkan kisah benar insiden rusuhan kaum berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di selatan tanah air pada tahun 2000.
Namun, sayap pemuda Perikatan Nasional telah membuat laporan polis dan menyeru kerajaan mengharamkan filem yang dirakamkan secara rahsia itu kerana didakwa ada unsur niat jahat.
Namewee sebaliknya menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa kononnya filem dengan kos bajet rendah itu hanya sebagai pedoman agar tidak berlaku lagi peristiwa sedemikian di masa hadapan. -UTUSAN