PUTRAJAYA: Seramai 280 petugas lesihatan sedang menerima rawatan di hospital kerana dijangkiti Covid-19 dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.
Katanya, peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti.
“Antara hospital yang melaporkan kes jangkitan tertinggi adalah daripada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (54 kes), Hospital Serdang (29 kes), Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes) dan Hospital Selayang (4 kes).
“Situasi seumpama ini, iaitu peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami oleh Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan dalam kalangan komuniti berlaku di sana. Bagaimanapun, kes di kesemua hospital yang terlibat masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di mana sebanyak 1,359 kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga wabak Covid-19 termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini
Katanya, terdapat lima kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi sejak bermulanya wabak ini jururawat (690 kes), Pegawai Perubatan (211 kes), Pembantu Perawatan Kesihatan (146 kes), Pembantu Pegawai Perubatan (144 kes) dan Pegawai Perubatan Siswazah (84 kes)
“Berdasarkan siasatan yang dilakukan mendapati 587 petugas mendapat jangkitan dari komuniti, 565 berlaku di antara petugas-petugas kesihatan, 152 jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan Covid-19.
“Selain itu, seramai 58 petugas tidak diketahui punca dan 409 lagi punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan membabitkan situasi di di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Serdang, beliau berkata, kesemua petugas dan pesakit sedang dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pihak HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang giat
bekerjasama dalam menyiasat punca jangkitan dan mengenalpasti kontak rapat kepada kes serta melakukan aktiviti-aktiviti saringan.
“Sehingga hari ini, terdapat seramai 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO manakala operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran telah dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala.
“Bagi situasi di Hospital Serdang pula, ia melibatkan 29 orang petugas perubatan dan 28 pesakit di mana kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, siasatan pasukan JKNS dan Hospital Serdang mengenalpasti punca jangkitan dan tindakan kawalan telah dilaksanakan serta merta bagi membendung penularan jangkitan ini.
“Pengurusan rawatan pesakit di Hospital Serdang masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.-UTUSAN ONLINE