CYBERJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat mewujudkan Siswa Mall di setiap universiti awam tempatan sebagai usaha melahirkan ramai usahawan dalam kalangan pelajar.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, inisiatif itu hasil kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dimeterai akhir bulan lalu.
Melalui skim dikenali sebagai Program KPT-MEDAC Siswaprenuer itu, sejumlah RM5 juta diperuntukkan dengan sasaran 1,500 usahawan pelajar perintis dalam tempoh enam bulan.
“Kita akan cuba mewujudkan Siswa Mall dan buat permulaan 15 institusi pengajian tinggi awam dipilih sebelum diperluaskan bagi mewujudkan budaya berniaga di kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kampus baharu Raudhah College dan melancarkan Kempen Graduan Bekerjaya di Malakat Mall, Cyberjaya dekat sini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah College, Dr. Taha Omar dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.
Mengulas lanjut, Mansor berkata, berdasarkan pengalaman meninjau situasi pusat pengajian tinggi tempatan didapati ramai pelajar ada bakat menjadi usahawan yang berjaya jika dipupuk baik.
“Malangnya idea mereka itu tidak dikomersialkan di pasaran lebih luas selain kekangan dari segi modal permulaan dan lokasi perniagaan yang tidak strategik,” katanya dalam nada kesal.
Justeru, beliau berharap pihak Malakat Mall dapat bekerjasama dengan kementeriannya bagi memberi kepakaran idea untuk penubuhan Siswa Mall sebagai platform penuntut berniaga.
Pada masa sama, kemahiran keusahawan itu diharap mampu mengatasi masalah lambakan graduan yang menganggur kerana tiada pekerjaan sesuai selepas menamatkan pengajian.
Ini juga ujarnya, sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan 2015 – 2025 bagi melahirkan ramai lagi lepasan universiti yang ada wawasan sebagai pencipta kerja dan bukan lagi pencari kerja.
“Setakat ini dianggarkan ada hampir 200,000 graduan menganggur dan kerajaan berharap, program diwujudkan itu dimanfaatkan pelajar universiti untuk bina pengalaman,” tegasnya.
Mansor turut memaklumkan, beliau sendiri mengambil inisiatif bincang dengan pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) bagi bantu penuntut pusat pengajian tinggi.
Hasil pertemuan agensi itu bulan lalu jelas beliau, akhirnya berjaya mencapai persetujuan untuk ia bertindak sebagai pembiaya skim mikro kredit untuk pelajar memulakan perniagaan.
TEKUN memperuntukan sebanyak RM20 juta dengan sasaran seramai 20,000 usahawan dalam kalangan penuntut universiti dapat diwujudkan menjelang mereka habis pengajian.
“Saya lihat pelbagai usaha itu sebagai tanda kerajaan prihatin membina ruang dan peluang terbaik untuk bantu perkasa peniaga sejajar misi Malaysia Negara Keusahawanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE