JOHOR BAHRU: Satu sistem tebatan banjir bakal dibina berhampiran Lebuh Raya Pasir Gudang dan Jalan Rinting di sini dalam usaha menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB), Datuk Adib Azhari Daud berkata, projek jangka masa panjang itu mampu menampung aliran termasuk mengurangkan bebanan tampungan kuantiti air.
Menurut beliau, Majlis Bandar Raya Pasir Gudang (MBPG) juga membina sistem tebatan air yang sama memandangkan lokasi itu melibatkan sempadan kedua-dua pihak berkuasa tempatan.
“Pintu air bagi mengurangkan kekerapan banjir juga akan dibina selain penyediaan pam kawalan banjir bagi menstabilkan kuantiti air di saliran milik MBJB dengan situasi air pasang surut di sungai-sungai hiliran.
“Pembinaan akan dimulakan bulan ini. Pendekatan pelan jangka panjang ini akan berpaksikan kepada kajian hidrologi yang mengambil kira pembangunan sedia ada dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi banjir bersama Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman di persimpangan Taman Rinting dan Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Pada 21 November lalu, berlaku banjir di kawasan berkenaan dengan jarak sejauh kira-kira satu kilometer sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.
Tambah Adib Azhari berkata, sampah sarap dan rumput dalam parit turut mengakibatkan aliran air tersumbat yang secara tidak langsung menyumbang kepada banjir kilat.
“Inisiatif segera akan diambil dengan melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan secara crossing culvert.
“Pelaksanaan ini turut melibatkan 11 lokasi lain termasuk di jalan-jalan negeri dan persekutuan dalam kawasan MBJB,” ujarnya.
Beliau turut meminta Jabatan Kerjaraya (JKR) dan konsesi pembersihan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan secara kerap agar banjir tidak berulang.-UTUSAN ONLINE