Siasat kartel daging guna logo halal palsu - Utusan Malaysia

Siasat kartel daging guna logo halal palsu

MOHD. Zulfitri Mohd Basir (tengah) bersama Rahmadin Alimuddin (kiri) menunjukkan memorandum di pekarangan SPRM, di sini, hari ini.- UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menjalankan siasatan ke atas kartel yang menyeludup daging sejuk beku menggunakan logo halal palsu, baru-baru ini.

Presiden Gagasan Baru Harapan Malaysia, Mohd. Zulfitri Mohd. Basir berkata, pihaknya membuat laporan rasmi bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berikutan kejadian terbabit membabitkan pelbagai agensi malah menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Islam.

Katanya, pembongkaran terbabit amat mengejutkan kerana sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu, malah daging terbabit sudah lama diedarkan ke seluruh negara.

“Sehingga hari ini, masih tiada pihak yang dipertanggungjawab. Malah tiada langsung perkembangan kes yang akan memberi kesan kepada industri daging halal.

“Kami melihat SPRM adalah pihak berkuasa yang paling layak menjalankan siasatan bagi membolehkan desakan yang disuarakan dapat dilaksanakan.

“Orang Islam mengutamakan halalnya sesuatu makanan. Walaupun ia tidak membabitkan daging babi tetapi apabila ia membabitkan daging haram, maka ia tetap haram,” katanya yang ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dan kemudiannya dibungkus semula dengan logo pengesahan halal serta menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina.

Taktik tersebut terbongkar dalam satu serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah Gudang di Senai, Johor Bahru baru-baru ini.

Yang turut hadir, Presiden Kebajikan Anak Bersatu Selangor, Rahmadin Alimuddin.

Mengulas mengenai desakan yang digariskan dalam memorandum, Mohd. Zulfitri berkata, pihaknya mahu mengetahui siapa kartel terbabit dan kenapa tiada tangkapan pemilik syarikat yang mengimport daging tersebut serta pihak berkuasa perlu mendedahkan jenama daging yang digunakan pihak kartel.

Katanya, rakyat juga mahu tahu siapakah pemilik Permit Import (AP) daging serta bagaimana daging sebanyak itu boleh lolos dari pemeriksaan pihak Kastam dan siapa yang menyediakan dokumen palsu bagi pihak kartel?

“Selain itu, siapakah dalang sebenar dalam sindiket kartel daging import ini? Kenapa daging yang sudah diedarkan tidak disita dari pasaran serta ke mana daging haram terbabit dipasarkan?

“Desakan terakhir, kenapa kartel ini seolah-olah dilindungi dan tiada tindakan tegas dan agensi kerajaan yang menyiasat terlalu berdolak dalik dalam mendedahkan maklumat sebenar?” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya