ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Shahimi Mohtar sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu berkuat kuasa semalam.
Bekas Provos UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) itu menggantikan Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim yang telah tiga tahun memegang jawatan tersebut sejak 2017.
UUM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pelantikan Shahimi berkuat kuasa 1 Disember lalu untuk tempoh tiga tahun.
“UUM berharap pelantikan ini akan memberi nilai tambah kepada universiti ke arah mencapai matlamat strategik untuk menjadi universiti pengurusan terbuka,” katanya.
Shahimi yang merupakan Profesor dalam bidang Pengurusan Operasi dan Logistik memegang Ijazah Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari University Of South Australia.
Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Nevada, Amerika Syarikat.
Shahimi telah berkhidmat selama 25 tahun di UUM dalam pelbagai peringkat pengurusan akademik dan penyelidikan selain pernah menerima anugerah profesor terbaik dalam bidang pengurusan logistik dari The Golden Tigers Award.
Selain itu, UUM sebelum ini pernah memberi pengiktirafan ketua pegawai terbaik kepada Shahimi. -UTUSAN ONLINE