JERANTUT: Seramai 63 Orang Asli suku kaum Bateq memeluk Islam sempena program Ziarah Dakwah dan Pendaftaran di Perkampungan Orang Asli Suku Kaum Bateq Kampung Bengoi Ulu Sat, Ulu Tembeling di sini semalam.
Ketua Unit Pembangunan Modal Insan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) (Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam), Sh. Mohd. Firdaus Sh. Othman berkata, pengislaman golongan minoriti itu hasil gerakan dakwah berterusan sejak bulan Februari lalu.
Menurutnya, seramai kira-kira 160 Orang Asli daripada pelbagai peringkat usia mendiami Kampung Bengoi terletak di pinggiran Sungai Ulu Sat yang menjadi tumpuan pelancong asing membuat kajian kehidupan etnik itu.
“Seramai 50 Orang Asli suku Bateq didaftarkan sebagai mualaf di buku pendaftaran MUIP manakala selebihnya tidak dapat direkodkan kerana mereka tiada kad pengenalan.
” Program ziarah selama dua hari yang berakhir semalam bertujuan menyantuni kaum Bateq, pendaftaran pengislaman, pendaftaran lewat kelahiran anak Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pendaftaran perkahwinan oleh Pejabat Agama Islam Daerah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Pengarah Pengurusan dan Pembangunan Islam MUIP, Mohd Ali Mat Dasir menyampaikan kad pemelukan Islam, saguhati pengislaman, barangan keperluan asasi, serta kelengkapan ibadah saudara baharu.
Sementara itu, Guru Briged Dakwah MUIP, Fauzan Md. Tahib berkata, suku kaum Bateq antara masyarakat Orang Asli yang terbelakang dari segi pendidikan dan cara hidup.
“Mereka suka berpindah-randah dan hidup secara nomad seperti di Kampung Bukit Gam, kawasan Taman Negara, Kampung Popei dan sempadan Kelantan dan terakhir mereka menetap di Kampung Bengoi, Ulu Sat,” katanya.
Menurutnya, Orang Asli suku Bateq masih mempunyai kepercayaan animisme yang kuat terutama orang-orang tua antaranya seperti mayat perlu disemadikan di atas pokok.
“Apa lebih mengejutkan mereka percaya dengan kalimah Basmalah (Bismillah) sebagai pembuka rezeki ketika mencari hasil hutan.
“Mengikut kepercayaan mereka, sebelum ke hutan, mereka perlu membaca Bismillah untuk mendapatkan kayu gaharu yang bermutu tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE