BENTONG: Pihak pengurusan Genting menempatkan 1,500 pekerjanya yang disahkan negatif Covid-19 di lokasi khas di First World Resort sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan mereka dijangkiti.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kesemua mereka telah menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di situ bermula 10 Disember lalu.
Menurutnya, pihaknya menafikan beberapa dakwaan yang tular khususnya di laman sosial Facebook baru-baru ini bahawa pihak Genting membawa lari 1,500 pekerja mereka dan ditempatkan di First World Resort di sini.
“Pihak Genting telah mengambil inisiatif menempatkan pekerja mereka di First World dengan kebenaran Kementerian Kesihatan.
“Polis juga berterima kasih kepada pihak Genting kerana melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbabit dengan menempatkan dan menjaga pekerja mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Abd. Jalil berkata, setakat ini seramai 1,041 penduduk di Apartment Amber Court, Apartment Ria (1,184) dan Rumah Kongsi Kampung Semaut (138) menjalani kuarantin dan sedang menunggu keputusan ujian calitan Covid-19.
Katanya, tiada halangan orang ramai berkunjung ke Genting Highlands memandangkan PKPD hanya dilaksanakan di tiga lokaliti iaitu di Apartment Amber Court, Apartment Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.
Beliau berkata, polis menasihatkan pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan bagi mengelakkan mereka dijangkiti wabak berkenaan. -UTUSAN ONLINE