PUTRAJAYA: Kerajaan mengisytiharkan keseluruhan Selangor sebagai zon merah susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk di tiga buah daerah yang sebelum ini dianggap selamat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini turut menyaksikan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.
“Kementerian Kesihatan merekodkan lebih 8,000 kes baharu dalam tempoh 14 hari lalu dan semua sembilan daerah di Selangor kini jadi zon merah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum itu ujar beliau, pelaksanaan PKPB di negeri itu tanpa melibatkan Daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini.
Namun, susulan jumlah kumulatif penghidap positif di Selangor yang sudah cecah 29,272 kes, kerajaan jelas beliau bersetuju untuk melanjutkan PKPB sehingga 14 Januari tahun depan.
Turut menerima nasib sama ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila kementerian itu merekodkan lonjakan ketara kepada 12,494 kes selepas 14 hari selain wujud kluster baharu.
“Tidak ketinggalan, Sabah yang mencatatkan sejumlah 36,074 kes malah masih ada berlaku lagi peningkatan turut dilanjutkan PKPB di seluruh negeri itu sehingga 14 Januari,” tegasnya.
Ismail Sabri juga memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Paginatan dan Kampung Marikan di Ranau, Sabah yang bermula esok.
Ia ujar beliau dijadualkan tamat pada 11 Januari depan melibatkan seramai 865 penduduk susulan hasil 529 ujian saringan yang mendapati 89 kes baharu positif di dua lokaliti ini.
Namun PKPD di Kampung Dasar Baru dan Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, Sabah pula yang bermula sejak 2 Disember lalu akan ditamatkan mengikut jadualnya iaitu pada esok. – UTUSAN ONLINE