Seludup PATI pulang: 40 individu termasuk dalang sindiket ditahan 

Seludup PATI pulang: 40 individu termasuk dalang sindiket ditahan 

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Klang, Selangor Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiada dokumen perjalanan tetapi berani bertindak sebagai dalang dengan menjadi ejen untuk menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) balik ke negara asal.

Malah, sindiket yang didalangi warga Indonesia berusia 50-an itu menjadikan sebuah hotel bajet di daerah ini sebagai penempatan sementara sebelum kesemua PATI itu dibawa pulang menaiki bot.

Bukan itu sahaja, sindiket juga mengenakan bayaran RM1,200 hingga RM2,500 seorang mengikut jarak perjalanan PATI terbabit.

Bagaimanapun, perbuatan sindiket itu sejak enam bulan lalu membawa padah apabila dia ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Lejang Sabtu lalu.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah 39 individu termasuk dua daripadanya warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat menguruskan kesemua PATI itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara telah membuat serbuan di sebuah hotel bajet.

Menurutnya, semasa serbuan, pihaknya telah membuat pemeriksaan di beberapa hotel dan mendapati sekumpulan lelaki dan perempuan Indonesia menginap di hotel tersebut berada dalam keadaan mencurigakan.

“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 37 individu termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan yang menginap di tujuh buah bilik hotel tersebut dan mendapati kesemua mereka tiada dokumen perjalanan.

“Susulan pemeriksaan, kita menahan tiga lagi individu iaitu ketua sindiket dan dua tekong merupakan warga tempatan. Siasatan awal mendapati hotel ini dijadikan penempatan sementara bagi PATI sebelum mereka dibawa pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, siasatan pihaknya mendapati bilik yang didiami kesemua PATI berusia 20 hingga 50 tahun itu telah disewakan oleh salah seorang tekong darat yang tersebut.

“Semua PATI yang ditahan ini dalam proses balik ke Indonesia dan visa telah tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya